ADA BERBAGAI JENIS HAJI
Apabila
saya menulis atau memberi komen tentang agama , saya akan mendapat
pelbagai reaksi dari pembaca. Ada yang menghantar surat membantah, ada
yang merasa tidak puas hati dengan apa yang saya tulis. Malah ada juga
yang mencaci dan mempertikai wujudiah saya. Ada surat yang datang
melalui e-mail dan ada yang memberi komentar pada tulisan tersebut.
Kali
ini saya ingin melakar pandangan untuk menerangkan kepada pembaca
kenapa saya memberikan pandangan atau komen tentang agama. Untuk
memahami apa yang akan saya lakar disini saya meminta para pembaca
berlaku jujur , ikhlas dan rasional. Kejujuran dan keikhlasan ini
penting. Tanpa dua sikap ini agak susah untuk kita membawa pencerahan
dihati dan pencerahan diminda. Sikap rasional juga wajib – kerana
hanya dengan menggunakan fikrah yang rasional barulah kita memahami
kedudukan sesuatu pekara tanpa menjadikan diri kita Pak Turut atau Pak
Anguk.
Untuk memulakan wacana ini mari kita mengingati kembali
berita Rosmah dan Najib naik haji. Untuk penganut agama Islam – rukun
haji ini ialah rukun kelima dalam ajaran Islam. Jadi berita – orang
pergi Mekah naik haji - bukan sesuatu yang menghairankan. Tetapi
berita Rosmah dan Najib naik haji ini agak berbeza. Berita ini diheboh
hebahkan ke seluruh negara – seolah-olah apabila Rosmah sampai di Mekah
dia menjadi anak dara sekali lagi.
Berita Rosmah dan Najib naik
haji ini terus menerus disiarkan di media arus perdana. Dalam masa yang
sama – kerana saya tidak memiliki tv – saya hanya diberitahu - bahawa
untuk beberapa kali Najib telah ditemubual oleh stesen tv secara terus
menerus – ini sama seperti temubual Lady Gaga ketika membuat konsert di
London untuk para peminat diseluruh dunia. Justeru, musim haji tahun
ini amat heboh dengan hebohan yang maha heboh.
Dalam
pengetahuan agama yang saya ketahui - wawancara di tv, gambar
mengelilingi Kaabah, gambar makan dengan anak raja Saudi, atau gambar
dirantai oleh soldadu Saudi ketika menuju ke Batu Hitam bukan
sebahagian dari rukun Haji. Tidak ada ayat dalam kitab suci yang
meminta media membontoti orang naik haji. Jika ‘ heboh-heboh ‘ ini
bukan rukun haji maka kenapa kita disibukkan dengan berita Rosmah dan
Najib naik haji seolah-olah mereka berdua ini baru sahaja menemui
suntikan mujarab untuk melicinkan kedut muka.
Jawabnya cukup
senang: Saya berani menulis disini bahawa pemergian Rosmah dan Najib
ke Mekah tidak ada sangkut paut dengan rukun Islam yang kelima. Wow!
Tidak ada sangkut paut dengan ibadah haji? Ini satu kenyataan yang
akan pasti memanggil bayak surat kutukan dan cacian. Untuk memahami
kenyataan saya ini biar saya terus berhujah. Dan para pembaca sila
membuka fikrah serasional mungkin.
Saya amati menunaikan fardu
haji kali ini bukan seperti arwah nenek saya pergi naik haji 50 tahun
dahulu. Ketika saya membesar dahulu saya perhatikan bagaimana naik
haji ini betul betul satu perjuangan spiritual. Satu displin diri dan
satu pengorbanan kehidupan. Insan yang memasang niat hendak ke
tanah suci ini wajib bekerja untuk menyimpan duit bertahun-tahun.
Sebelum ke Mekah insan ini akan menjalankan seluruh kehidupannya
berpandukan ajaran agama. Sedaya upaya insan ini akan menjauhi dari
yang mungkar. Hidup insan ini hanya membuat amalan kebajikan sesama
manusia. Justeru, melakukan ibadah haji di Mekah adalah kemuncak
wujudiah setelah bertahun-tahun menyimpan niat suci ini.
Hari ini
telah wujud apa yang saya panggil ‘ Haji Sponsor’ dan ‘ Haji Tiket
Bertuah’. Haji Sponsor bermakna ada si Polan ini telah bernasib
baik mendapat tajaan untuk pergi ke Mekah. Mungkin ada kontrektor
Bumiputera Kelas F yang telah mendapat hutan balak atau telah berjaya
menjual kontrek membuat masjid kepada seorang Cukong. Sebagai tanda
bersyukur si Kontrektor ini menaja Tok Bilal dan Tok Siak di
masjidnya untuk ke Mekah. Dalam dunia anak muda perbuatan ini tidak
juah bezanya dari membelanja ‘member’ untuk pergi tengok wayang di
Mid Valley.
Haji Sponsor ini pula tidak jauh bezanya dengan Haji
Tiket Bertuah. Hari ini kita ada terbaca tentang cabutan tiket
bertuah – tiket ke Mekah - sebagai tarikan agar ramai orang akan
datang ke majlis politik. Selalunya majlis politik sebagini disusun oleh
parti politik yang kurang mendapat sambutan orang ramai atau parti
politik yang dibenci oleh rakyat seperti parti United Malaya National
Organisation. Number bertuah yang dicabut akan membolehkan si
pemiliknya mendapat tiket penerbangan percuma ke Mekah.
Tetapi
ada satu lagi haji yang mungkin lebih hebat dari Haji Sponsor dan Haji
Tiket Bertuah. Haji ini ialah Haji TM atau Haji Tahun Mengundi.
Haji TM telah menjadi satu trend apabila sampainya tahun pemilihan
pucuk pimpinan United Malay National Organsiation. Biasanya si Polan
yang bernasib baik untuk mendapat Haji TM ini adalah ahl-ahli parti yang
telah dipilih untuk datang mengundi di Perhimpunan Aggung di PWTC.
Ahli-ahli yang bernasib baik ini akan dihantar lebih awal ke Mekah untuk
menunaikan ibadah Haji. Mekah dipilih agar ianya dilihat ‘kosher’ atau
halal. Memberi tiket ke Mekah ini tidak akan dilihat seperti memberi
rasuah. Malah ianya dilihat sebagai kerja dan amalan yang soleh.
Setelah
memahami jenis-jenis haji ini maka pasti ramai pembaca akan bertanya –
jenis haji apakah yang telah dilakukan Najib dan Rosmah ? Saya rasa
ianya bukan Haji Sponsor, bukan Haji Tiket Bertuah dan bukan juga Haji
Tahun Mengundi. Haji yang dibuat oleh Rosmah dan Najib lebih sempurna
dari semua genre haji-haji ini. Haji-haji yang lain tidak ada soldadu
Saudi masuk campur. Tidak ada laporan media terus menerus. Tidak ada
makan dengan putera raja.
Justeru saya genrekan haji Rosmah dan Najib ini sebagai Haji Nakempru. Dalam bahasa Jepun klasik perkataan nakempru - ワタシ -
adalah kata sifat yang bermakna sesorang itu dalam keadaan yang kurang
sehat. Malah di pulau-pulau di Selatan Jepun perkataan nakempru ini
sering digunakan untuk menggambarkan ikan sakit yang terapung-apung
bernafas dipermukaan air.
Untuk memudahkan lagi para pembaca
memahami apakah dia Haji Nakempru - biar saya sunat dan Melayukan
perkataan Jepun klasik ini. Saya cuba memberi makna Melayunya serapat
mungkin agar maknanya tidak lari jauh. Nakempru ialah Najib Kempen
Untuk Pilihanraya Umum. Justeru Haji Nakempru dalam Bahasa Melayu yang
mudah difahami ialah Najib sedang berkempen di Mekah mencari
sokongan untuk pilihanraya umum ke 13. Faham?
Ada atau tidak
sesiapa yang akan bertelagah atau berhujah dengan saya tentang Haji
Nakempru ini? Atau ada sesiapa yang sanggup mengatakan apa yang saya
tulis ini adalah ajaran sesat?
Saya pertahankan apa yang saya
tulis ini kerana untuk saya amat jelas pemergian Rosmah dan Najib ini
bertujuan untuk berkempen. Secara stratejik Mekah telah dipilih untuk
dilawati kerana kota ini membawa aura kesucian agama, membawa aura
berbadat dan dari apa yang saya difahamkan kota ini hanya boleh dilawati
oleh mereka yang beragama Islam. Dengan satu lawatan ke Mekah sekali
gus Rosmah dan Najib dibaca suci, dilihat beribadat dan akan dicap
sebagai penganaut agama Islam.
Dilihat suci, beribadah dan
terbukti sebagai penganut agama Islam ditujukan khas untuk Mak Cik
Warong dan Mak Cik Felda yang selama ini telah terhakis keyakian mereka
terhadap Najib dan Rosmah. Najib diyakini umum terlibat dalam kes
pembunuhah Altantuya. Manakala Rosmah dilihat sebagai perempuan boros
yang membelanjakan duit kerajaan sesuka hatinya. Juak juak yang
merancang lawatan ke Mekah ini berharap melalui lawatan ini Rosmah
dan Najib digambarkan seolah-olah mereka berdua ini telah bertaubat
dari melakukan kejahatan.
Saya perkuatkan lagi pandangan rasional
saya ini kerana sebelum membuat Haji Nakempru ini Najib telah melawat
Baginda Queen Elizebeth. Pertemuan dengan Baginda Queen Elizebeth ini
bertujuan untuk menaikkan prestige Najib sebagai seorang pemimpin
negara. Berita terbaru dari Hawaii telah melaporkan tentang Najib
sempat bersemuka dengan Obama. Bersemuka dengan Obama ini juga bertujuan
untuk menaikkan prestige Najib kerana pada ketika ini Mak Cik Mak Cik
Felda sedang melihat Najib sebagai mangsa Nasi Kang Kang Rosmah.
Justeru, tidak mungkin mangsa Nasi Kang Kang dapat berjumpa Presiden
Obama.
Dalam kes Haji Nakempru , kota Mekah ini sama peranannya
dengan Buckhingham Palace di London atau pun Rumah Puteh di Washington
DC. Bertawaf ditempat ini hanya bertujuan untuk memperbaiki imej
Najib yang sedang nakempru – sedang nyawa nyawa ikan seperti kata orang
di Selatan Jepun.
Saya akan menolak semua hujah yang melarang
berita agama ini dari dibincangkan. Saya juga menolak kenyatan yang
mengatakan hanya mereka yang tahu hal agama sahaja yang boleh memberi
komentar tentang agama. Berita berita agama seperti berita Rosmah dan
Najib telah masuk ke dalam ruang orang ramai. Maka , saya sebagai satu
orang dari jutaan orang ramai itu berhak untuk bersuara. Malah saya
juga berhak untuk bertanya apakah duit perbelanjan Rosmah dan Najib ke
Mekah itu pakai duit sendiri atau merembat duit kerajaan. Jika
menggunakan duit kerajaan maka hak dan saham saya untuk memberi
pandangan melonjak tinggi.
Sama ada Haji Sponsor, Haji TM atau
Haji Nakempru ini sah atau tidak sah bukan saya yang dapat memberi
jawapan. Sebagai manusia saya tidak ada keupayaan untuk mengambil
alih peranan Yang Maha Esa. Tetapi sebagai warga yang membayar cukai
saya berhak mengeluarkan pendapat – walau pun pendapat ini tentang
ajenda agama. Jika sesuatu pekara itu di bawa ke tengah pengetahuan
umum maka umum boleh membincangkannya. Jika tidak hendak dibicangkan
secara umum sila buat ajenda itu dalam kelambu tertutup dalam bilik
yang gelap.(TT)
NOTA:
tulisan ini telah disiarkan
dalam akhbar SUARA KEADILAN
yang terbaru - sesiapa ingin
melanggan akhbar mingguan ini
sila pukul talipon : 03-22-72-40-45
No comments:
Post a Comment